PLASTIK LEMBUT PERANGKAP SIAKAP
Muara Sungai Penor sememangnya terkenal dengan siakap-siakap
gadangnya. Siakap-siakap di sini pula, boleh diperdayakan dengan penggunaan
gewang. Telah banyak spesies yang berjaya ditewaskan dengan renangan hard
bodied lures, jadi geng Kuantan Lure Casters @ K.L.C ingin mencuba penggunaan
soft plastic (S.P) pula. Adakah ia juga efektif seperti gewang-gewang lain?
Tanpa di sangka, ia rupanya berjaya membuka selera raja muara ini untuk
meligannya.
Kejayaan menewaskan siakap rekod 16 kg menggunakan Rapala
Shad Rap di Muara Penor menyebabkan timbul pula keinginan untuk menipunya
dengan kaedah lain pula. Selain dari kepelbagaian jenis gewang, S.P juga turut
menghiasi pasaran cuma pengunaannya agak terhad dan jarang dipakai oleh
pemancing di kawasan muara. Oleh itu Lee Benteng dan rakan-rakannya
berkeyakinan, gewang dari plastik lembut ini juga mampu untuk menggoda
spesies-spesies muara asalkan kena pada masa dan cara persembahannya.
Lokasi : Kuala Penor Kuantan
Teknikal Soft Plastic
Perkara pertama ialah memastikan keadaan airnya bersesuaian untuk menggayakan
S.P.(soft plastic) Jika air besar maka ianya akan menghasilkan arus yang deras
di alur Sungai. Oleh itu air kecil adalah masa terbaik, kerana semasa ini
perbezaan pasang dan surutnya tidak ketara dan ini akan menghasilkan arus yang
perlahan. Ianya amat penting untuk menjamin agar S.P berenang dengan cantik,
lantas berjaya membuka selera penghuni muara ini.
Selepas pemilihan hari dan waktu terbaik ditetapkan,
bagaimana pula dengan penggunaan peralatan pancingnya? S.P tadi biasanya akan
dipadankan dengan Berkley Nitro Jig Head model Bream Pro Series. Semasa arus
lembut, jig head seberat 3.6 gram sudah memadai, dan ia mempunyai kelebihan
tenggelam 30 cm persaat. Mata kailnya dari jenama Owner yang terkenal dengan
ketajamannya dan ia cukup kuat untuk menahan asakan siakap di kawasan bereba di
sini.
Jig Head bermata kail
Owner yang tajam akan memberi tancapan jitu. Penggunaan jig head yang betul
akan memastikan S.P beraksi cantik untuk menggoda raja muara ini.
Disebabkan kombinasi S.P dan jig head yang ringan sebegini,
maka kekili mendatar (spinning reel) lebih praktikal. Kekili bersaiz kecil
seperti model dibawah saiz 3000 yang diisi tali sulam 10 paun sudah memadai.
Joran lembut berkekuatan 12 paun ke bawah amat sesuai untuk menghidupkan
aksinya. Pergerakan atau aksi S.P hanya pada bahagian ekornya sahaja dan ia
tidak mempunyai buit-in action seperti hard bodied lure lainnya. Oleh itu gaya
karauan dan henjutan amat penting untuk menghidupkan aksinya.
Mungkinkah renangan S.P yang melentuk-lentuk menyebabkan
siakap menjadi geram?
Semasa mengilat pula, jika tiada sebarang tanda-tanda siakap
mengejar mangsa, maka balingan di lakukan di luar kawasan bereba. Ia dibiarkan
tenggelam sehingga mencecah dasar dan selepas itu barulah karauan dilakukan.
Biasanya 2 cara ini digunakan untuk menggayakannya. Ada yang gemar
membuat kayuhan amat perlahan dan dengan cara ini, jig head yang berat tadi
akan menyondol dasar sementara S.P pula akan tertonggeng ke atas dan bahagian
ekornya akan membuai-buai. Seretan yang perlahan juga akan menyebabkan setiap
lubang atau lekuk pada bahagian dasar akan dijelajahi oleh S.P ini.
Hujung joran direndahkan, dan disentap ke kiri dan kanan
menyebabkan S.P akan beraksi zig-zag. Teknik yang menyebabkan S.P melilau kiri
dan kanan ini kerap memperdayakan siakap.
3 ekor siakap pada satu malam dengan penggunaan S.P agak
membanggakan
(Lokasi Kuala Penur kuantan)
Teknik manapun digunakan, tetapi masa paling penting ialah
semasa membuat sentapan untuk memastikan mata kail tertacap kemas ke mulutnya.
Siakap biasanya akan mengeman terlebih dahulu dan ia kurang curiga terhadap S.P
kerana badannya yang lembut seolah-olah ikan betul. Bila terasa ragutan biarkan
ia seketika dan bail arm dibuka untuk membiarkannya membetulkan kedudukan
mangsa sebelum menelannya. Selepas tali terasa dibawa lari, masa inilah
rentapan padu perlu dilakukan.
Selepas itu tunggu sahaja lompatan darinya untuk memastikan
ianya adalah raja muara yang anda nanti-nantikan lariannya. Seandainya anda
berkesempatan mengilat siakap di lokasi kegemaran, pastikan S.P dibawa bersama,
manalah tahu ada spesimen lebih besar pula yang terpedaya!
Sumber : Saudara Adlizam Yasin
Blog anda ada disini cara memancing siakap terbaik
BalasPadam